TERAJU >> TeraS >> Exact

 

Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) telah diumumkan secara rasmi penubuhannya pada 08 Feb 2011 oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak. TERAJU ditubuhkan untuk menjana transformasi dan meningkatkan penglibatan golongan Bumiputera di dalam ekonomi negara selaras dengan matlamat negara mencapai Wawasan 2020. Bagi mencapai matlamat ini, TERAJU memainkan peranan sebagai pemangkin terhadap penglibatan golongan Bumiputera di dalam ekonomi melalui perancangan jangka panjang yang terperinci.

 

Visi utama TERAJU adalah untuk memperkukuhkan serta mencapai keseimbangan penyertaan Bumiputera di dalam Ekonomi Negara dengan merapatkan jurang ekonomi yang wujud diantara Bumiputera dengan kaum lain. Manakala misi TERAJU pula adalah untuk memastikan masyarakat Bumiputera dapat meraih peluang dan manfaat yang saksama daripada pertumbuhan pesat ekonomi negara melalui perlaksanaan Program Transformasi Agenda Bumiputera.

 

Di bawah bidang TERAJU, satu skim khas untuk membangunkan syarikat-syarikat Bumiputera berprestasi tinggi yang dinamakan TeraS atau dikenali sebagai Program Enterpris Kecil dan Sederhana (EKS) telah dilancarkan pada tahun 2011. Matlamat TeraS ialah untuk mengenalpasti syarikat-syarikat Bumiputera yang berpotensi tinggi dan membantu mereka mencapai peningkatan dalam perniagaan menerusi akses kepada peluang-peluang secara merit. Program ini mensasarkan syarikat-syarikat milik Bumiputera yang berpotensi tinggi untuk berkembang dalam jangkamasa lima hingga sepuluh tahun yang berikutnya. Matlamatnya adalah untuk syarikat-syarikat ini berkembang melepasi pasaran domestik dan menjangkau pasaran global yang lebih besar.

 

Exact Engineering Sdn Bhd merupakan salah sebuah syarikat yang telah dipilih oleh pihak TM untuk dimasukkan ke dalam program TeraS ini. Manakala pemilihan EKS ke dalam program tersebut akan dibuat oleh Lembaga Pemilihan yang dipengerusikan oleh TERAJU. Selaras dengan pemilihan ini, pada 17 Mac 2012 syarikat kami disenaraikan di akhbar ‘The Borneo Post’ antara 80 buah syarikat yang terpilih dalam program ini. Selain itu, syarikat kami juga disenaraikan di dalam calon-calon Top 100 medium Bumi SME dan memiliki penarafan 4 bintang SCORE (SME Competitive Rating for Enhancement).

 

Ditubuhkan pada bulan Disember 1979 di Sabah, Exact Engineering merupakan salah satu daripada 10 kontraktor Kelas A Telekom Malaysia yang menjalankan kerja-kerja penarikan kabel telekomunikasi fiber optik. Syarikat mempunyai seramai 106 orang pekerja yang dilatih dan diajar bagi mencapai kehendak dan prestasi yang terbaik dalam industri tempatan. Selain mempunyai ibu pejabat di Sabah, kami juga memiliki cawangan di Puchong, Selangor semenjak tahun 2008. Exact Engineering merupakan syarikat yang diiktiraf oleh IQNet dan SIRIM QAS International Sdn Bhd sebagai syarikat yang melaksanakan ‘Quality Management System’ dan memenuhi piawaian ISO 9001:2008. Selain itu, syarikat juga diiktiraf oleh ‘United Kingdom Accrediation Service’ (UKAS) dan telah memenangi anugerah Khas Kontraktor HSBB Kawasan Tengah oleh TM pada tahun 2010.

 

Visi syarikat adalah untuk menjadi kontraktor utama dalam menyediakan perkhidmatan yang berkualiti dan cemerlang. Manakala misi syarikat pula adalah untuk berusaha memastikan dan memenuhi visi oleh pembaikan prestasi yang berterusan melalui pembangunan sumber manusia dan kecemerlangan perniagaan. Selaras dengan visi dan misi syarikat ini, kami bersedia untuk membangunkan generasi usahawan Bumiputera bertaraf dunia dengan menceburi bidang perniagaan yang lain dalam Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA). Ini boleh dicapai melalui sokongan teknikal dan peluang perniagaan daripada program TeraS yang dijalankan oleh kerajaan ini.